• Taman-taman Awam Putrajaya

    TAMAN PUTRA PERDANA

    Taman Putra Perdana terletak di lingkaran Persiaran Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (PSSAS) di Presint 1. Berkeluasan 154 ekar, pembinaannya dimulai dengan upacara pecah tanah dan pembinaan mercu tanda baharu bagi negara pada 29 Ogos 1995. Taman ini merupakan ikonik sebagai simbol Putrajaya kerana di sinilah titik permulaan perubahan Prang Besar iaitu dari sebuah ladang sawit kepada pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. 

    Terdapat sebuah Kapsul Masa yang menyimpan dokumen penting dan sejarah pembinaan Putrajaya tertanam di taman ini. Di sini juga terletaknya monumen Mercu Tanda Putrajaya berbentuk piramid dengan lambang bulan dan bintang yang menggambarkan keagungan bangsa Melayu.

    Terdapat dua buah bangunan ikonik Putrajaya di taman ini iaitu Istana Melawati dan Hotel Pulse Grande Putrajaya. Istana Melawati telah direka oleh YM Raja Kamarul Bahrin sebagai simbolik penyerahan Prang Besar kepada Kerajaan Persekutuan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Istana ini adalah simbol kedaulatan raja-raja Melayu.

    Beberapa batu Megalith yang ditemui pada tahun 1989 di Kampung Gelanggang, Negeri Sembilan telah diletakkan di taman ini dan dinamakan Laman Megalith. Sebahagian besar batu-batu Megalith atau lebih dikenali sebagai batu hidup, dipercayai berasal dari zaman Neolitik, zaman Mesolitik dan zaman Gangsa.

    Selain daripada tarikan bersejarah, Taman Putra Perdana juga mempunyai Pelantar Pemandangan yang menyajikan pemandangan indah.

    Taman yang menonjolkan kehijauan landskap dengan dihiasi pelbagai spesis bunga-bungaan ini diperkasakan lagi dengan sudut kelestarian sejarah. Kemudahan rekreasi yang ada seperti siar pejalan kaki direka dengan begitu rapi demi keselesaan pengunjung yang inginkan suasana tenang dan damai.

    Tarikan :

    • Laman Megalit
    • Plaza Mercu Tanda
    • Pelantar Pemandangan
    • Kapsul Masa

    KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN :

    • Trek Joging
    • Trek Basikal
    • Tempat Letak Kereta
    • Taman Permainan Kanak-kanak
    • Peralatan senaman (Outdoor Gym)
    • Tandas
    • Wakaf
    • Surau

    SEWAAN TAPAK:

    JENIS TAPAK

    KAPASITI

    KADAR BAYARAN

     

    KESELURUHAN TAMAN

     

    2,000 ORANG

    RM 3,000 /1 HARI

     WAKTU TAMAN DIBUKA :  7.00 pagi -  7.00 malam ( Setiap Hari)

    KOORDINAT GPS : 2.941818,  101.695646 

    HUBUNGI KAMI :

    Bahagian Rekreasi dan Operasi

    Jabatan Landskap dan Taman

    Perbadanan Putrajaya

    No. Telefon : +603-8887 7139

    No. Faks       : +603-8887 5036


    TAMAN WAWASAN

    Taman Wawasan yang berkeluasan 137 ekar yang terletak di Presint 2 Putrajaya ini merupakan manifestasi visi dan misi negara dalam menuju masa depan yang harmoni. Taman ini mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit dan bercerun.

    Taman Metropolitan yang terletak di Nusa Perdana ini menjadi tarikan kerana kedudukannya di paras yang tinggi membolehkan pengunjung menikmati pemandangan Putrajaya seluruhnya dari Pelantar Tinjau yang disediakan.

    Di dalam taman ini terletaknya Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) yang mana merupakan Kompleks Kerajaan Persekutuan.

    Selain itu, Taman Wawasan juga mempunyai Aqua Plaza (Plaza Air) serta Amfiteater yang selesa dan kondusif untuk sebarang penganjuran program dan aktiviti. Taman ini juga terkenal dengan Pantai Kerikil (Pebble Beach) yang tersusun indah dan menjadi tarikan pengunjung.

    Pelbagai aktiviti riadah sesuai dijalankan di Taman Wawasan seperti joging, berkelah, berbasikal dan sebagainya.

     

    Tarikan :

    • Pantai Kerikil (Pebble Beach)
    • Aqua Plaza
    • Pelantar Tinjau Amfiteater