Institut Kanser Negara


Institut Kanser Negara

Institut Kanser Negara adalah sebuah institusi perubatan kanser yang dibina khas untuk memberikan kemudahan khusus dalam rawatan dan perubatan bagi pesakit-pesakit kanser. Penubuhan Institut Kanser Negara adalah bertujuan bagi menangani segala keperluan yang semakin meningkat berkaitan dengan isu-isu kanser dalam negara.

Sebuah tapak berkeluasan 1065 ekar yang terletak di Presint 7, Putrajaya telah dikenal pasti untuk pembangunan Institut Kanser Negara. Lokasinya yang strategik terletak bersebelahan Hospital Putrajaya, Putrajaya Sentral, Ibu Pejabat Bomba, Ibu Pejabat Polis, Pusat Perdagangan (akan datang) dan ianya mudah diakses menerusi lingkaran Putrajaya dan Lebuh Sentosa.

Institut Kanser Negara direka bentuk berdasarkan beberapa konsep reka bentuk. Antara reka bentuk konsep yang digunapakai ialah hospital yang khusus untuk menampung pesakit dan memberi penjagaan perubatan kesihatan khusus yang disokong oleh state of the art yang khusus dalam bidang diagnostik dan fasiliti perubatan. Selain itu, ia direka dengan menggunakan reka bentuk yang mesra pengguna dan mempunyai senibina, reka bentuk dalaman dan landskap yang menarik bagi mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pemulihan dan penyembuhan. Projek pembinaan Institut Kanser Negara ini berjaya disiapkan lebih awal berbanding tarikh siap kontrak.

Institut Kanser Negara diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 18 September 2013 pada satu Majlis Penyerahan Projek dan ia mula beroperasi pada 2 September 2013. Institut Kanser Negara merupakan sebuah hospital yang dibina dengan peralatan canggih dan teknologi maklumat terkini. Merangkumi aspek diagnostik dan rawatan khusus dalam menangani pelbagai penyakit kanser.

Perkhidmatan utama yang disediakan di Institut Kanser Negara ialah Radioterapi & Onkologi, Perubatan Nuklear, Pembedahan Onkologi dan Perawatan Paliatif. Perkhidmatan lain yang disediakan ialah perkhidmatan klinik pakar, perkhidmatan pesakit dalam, perkhidmatan rawatan harian dan perkhidmatan sokongan klinikal. Institut Kanser Negara bakal menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam perawatan kanser, penyelidikan dan pendidikan, dan perkhidmatan kesihatan yang terulung di Malaysia.